Pages

Khusyu' Dalam Sembahyang

Khusyu' dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benarnya bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)



Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat sembahyang yang khusyu‘.

SEBELUM MENDIRIKAN SEMBAHYANG

i. Menjaga makanan dan minuman.

Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram. Sabda Rasulullah SAW:

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

ii. Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat.

Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’. Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah SAW. Baginda SAW dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda SAW terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie).


iii. Membersihkan diri, termasuk bersugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

iv. Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v. Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang. Sabda Rasulullah SAW:

Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim).


vi. Memakai pakaian yang bersih dan kemas.

Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii. Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.a.:


“Bahawa Rasulullah SAW menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).



viii. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda SAW:

“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadis riwayat Muslim).

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.


KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i. Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya.

ii. Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:

“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii. Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.

Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham r.a. bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau menjawab:


iv. Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.

Umpamanya seperti berikut surah an-Nas, ta’awudz, tahlil atau zikir. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….” (Hadis riwayat Muslim).

“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”


KETIKA MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i. Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain daripada ayat-ayat al-Qur’an (tasbih, takbir dan doa).

Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii. Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud.


Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan. Rasulullah SAW bersabda:

Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud….. (Hadis riwayat Muslim).

iii. Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv. Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v. Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi. Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.

Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan). Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “SubhanAllah”. Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

vii. Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta.


Sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.


Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

No comments:

Post a Comment