.. Powered by Blogger.
RSS

Berbakti Kepada Ibu Bapa Yang Telah Meninggal Dunia

Seseorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi adakah ia memadai atau terbatas ketika mereka masih hidup 
sahaja? Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh atau memerintahkan agar seseorang anak berbakti atau membuat kebajikan terhadap kedua-dua ibu bapanya, dan ia tidak terbatas ketika mereka masih hidup. Terdapat beberapa amalan kebajikan yang boleh disumbangkan oleh seseorang anak kepada 
kedua-dua ibu bapanya setelah meninggal dunia. 


1. Menjelaskan hutang.

Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak. 


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Nasai dan 
Ibnu Majah). 

Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: Adakah mayat ini masih 
menanggung hutang? Sahabat menjawab: ``Ya, Rasulullah''. Baginda bertanya: Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya? Jawab sahabat: ``Tidak.'' Lalu baginda bersabda: Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu. Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: ``Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya.'' Sesudah 
itu baginda segera maju untukmenyembahyangkan jenazah sambil berkata 
kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api 
neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat 
kelak. 


Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
Barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang 
berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang. 


2. Membayarkan zakat. 

Seseorang yang meninggal dunia dan belum membayar zakat, maka wajib bagi warisnya menjelaskan zakat tersebut kerana zakat yang belum dibayar itu adalah hutang seseorang hamba kepada Allah s.w.t. Kewajipan membayarnya pula didahulukan sebelum menjelaskan hutang yang lain, memenuhi wasiat dan pembahagian harta pusaka. 
Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ``Ibu saya telah meninggal dunia dan 
berhutang puasa selama satu bulan. Apakah saya perlu membayarkannya?'' 
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sekiranya ibu kamu mempunyai hutang, adakah kamu 
akan membayarkannya? Jawab lelaki tersebut: ``Ya.'' Baginda menjawab: 
Hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar. (Riwayat Bukhari dan 
Muslim) 


3. Mengqadakan puasa. 

Waris atau anak-anak disunatkan supaya mengqada puasa ibu bapanya 
yang telah meninggal dunia, ia termasuk puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa 
kafarah. 
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 
Barangsiapa yang mati sedangkan ia ada kewajipan berpuasa, maka walinya berpuasa 
untuknya. (Muttafaq Alaih) Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawasanya 
seorang wanita berkata: Ya Rasulullah, ibu saya telah meninggal dunia 
sedangkan ia ada puasa nazar, adakah saya boleh berpuasa untuknya? Rasulullah 
s.a.w. bersabda: Bagaimana pendapatmu sekiranya ibu kamu mempunyai hutang 
dan kamu membayarkannya, tidakkah itu menunaikan hutangnya? Wanita itu 
menjawab: 
``Ya.'' Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah untuk ibumu. 
(Riwayat 
Bukhari dan Muslim) 


4. Membayarkan fidyah puasa. 

Fidyah puasa itu ialah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara sama ada daripada beras, gandum atau seumpamanya. Di Selangor kadar satu cupak itu ialah 900 gram bersamaan RM1.10. 
Mereka yang diwajibkan membayar fidyah puasa ialah: 

l.Orang sakit yang tidak ada harapan akan sembuh penyakitnya. 

2. Orang tua yang tidak upaya berpuasa atau menemui kesukaran untuk 
berpuasa dengan sebab tuanya. 

Bagi mereka yang tersebut di atas yang tidak berupaya untuk berpuasa, maka diwajibkan bagi mereka memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan puasa dengan kadar satu cupak atau nilai yang bersamaan 
dengannya. 

Firman Allah s.w.t. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi 
makan orang miskin. (Al-Baqarah : 184) 


5. Mendoakan ibu bapa. 

Doa anak yang soleh merupakan khazanah ibu bapa yang amat berharga. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya 
melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh dan berdoa untuknya. 


6. Menghubungkan tali silaturahim. 

Menghubungkan tali silaturahim adalah termasuk dalam perkara yang amat penting dan ia merupakan salah satu tuntutan syariat yang harus 
mendapat perhatian utama daripada kaum Muslimin. Mengeratkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabat ibu bapa adalah sebahagian daripada cara berbuat amal untuk kedua-duanya yang telah meninggal 
dunia. 

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda: 
Sesungguhnya sebaik-baik kebajikan adalah seseorang itu menghubungkan silaturahim dengan orang yang dikasihi bapanya. (Riwayat Muslim) Di 
dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Rabi`ah as-Sa`idi, kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datanglah seorang lelaki daripada Bani Salamah, ia bertanya kepada Rasulullah, ``Ya Rasulullah, masih adakah kebaikan (kewajipan) yang harus saya lakukan untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapaku setelah kedua-duanya meninggal dunia.'' Baginda 
menjawab: Ya ada, iaitu sembahyang atas(jenazah) kedua-duanya (maksudnya mendoakan kedua-duanya) dan memohon keampunan bagi kedua-duanya, memenuhi segala pesanannya (menyempurnakan janji mereka) setelah mereka meninggal dunia dan menghubungkan ikatan silaturahim yang tidak sampai serta 
menghormati para sahabat mereka. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban) 


7. Menziarahi kubur. 

Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Adalah lebih baik jika di-ziarahi pada setiap hari Jumaat dan 
dibacakan surah Yasin untuknya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan berdoa dan 
menziarahi kuburnya membawa kebajikan yang bukan sahaja kepada anak- anak yang soleh tetapi juga kepada anak yang derhaka. Dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua-dua ibu bapanya kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk kedua-duanya, nescaya ia diampuni Allah dan dianggap sebagai anak yang taat. 


8. Menyelesaikan harta pusaka mengikut faraid. 

Pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat setelah dijelaskan segala hutang si mati sama ada hutang dengan Allah mahupun sesama manusia, wasiat dan segala perbelanjaan pengurusan jenazah. 

Firman Allah s.w.t. Allah telah memerintahkan pembahagian harta 
pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan 
bahagian dua orang anak perempuan. (An-Nisa :11) 9. Memohon keampunan bagi 
dosanya. 
Perkara yang paling mudah dan dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua- 
dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia, seperti mana doa yang dianjurkan di dalam al-Quran Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan juga 
kepada semua orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Ibrahim : 41) 

Firman Allah s.w.t. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua- duanya 
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka), ``Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku 
semasa kecil. (Al-Isra: 24) 


10. Membuatkan haji untuknya. 

Anak-anak digalakkan untuk membuatkan haji bagi kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang belum sempat menunaikan haji. Ia boleh dilakukan dengan membuat sendiri (bagi yang telah menunaikan haji untuk diri 
sendiri) atau dengan cara mengupahkannya kepada orang lain. Walau bagaimanapun sekiranya kedua-dua ibu bapa telah bernazar untuk 
menunaikan haji tetapi tidak berkesempatan kerana telah meninggal dunia, maka wajib bagi waris atau anak melakukan haji untuknya dengan 
segala perbelanjaan adalah daripada harta peninggalan si mati. 

Diterima daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: ``Ibuku telah bernazar untuk 
menunaikan haji tetapi ia meninggal dunia sebelum menunaikannya. Apakah saya akan melakukan di atas namanya?'' Jawab Baginda: Ya, berhajilah menggantikannya. Bagaimana pendapat kamu, jika berhutang apakah kamu akan membayarkannya? Oleh itu, bayarlah hutang kepada Allah kerana
hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar. 

Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghayati semula peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah 
kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini? Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan 
mendapat keredhaan Allah s.w.t. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang 
diredhai Allah. � 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

3 comments:

Admin said...

Sangat bermanfaat, terima kasih..

Unknown said...

Alhamdulillah..bernilai untuk dunia akhirat,,Jazakallahhuhoiran...

haris said...

Boleh tunjukkan hadis zoarah kuhur ibu sunat muakad..

Post a Comment

Renungan

Dari Abu Hurayrah r.a., katanya: Bersabda Rasulullah Saw.: “Berfirman Allah Yang Maha Agung: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.(Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)